Adakah Teknologi Syarikat Anda Bersedia Untuk Industri 4.0?

Antara kayu ukur yang akan digunakan untuk menilai kesediaan industri dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 adalah kesediaan dari segi teknologi. Pada masa yang lalu, revolusi perindustrian yang sebelumnya telah dipacu oleh kemajuan dalam bidang-bidang yang melibatkan penjenteraan, stim, elektrik dan elektronik. Namun Revolusi Industri 4.0 yang akan datang pula didorong oleh kebangkitan Internet dan dunia maya yang memacu kilang-kilang fizikal, yang melibatkan gabungan pelbagai teknologi berkaitan.

 

‘Internet of Things’ (IoT) selalu disebut-sebut sebagai kunci teknologi utama yang diperlukan untuk mencapai Revolusi Industri 4.0. Konsep ini berkait rapat dengan menanamkan dalam hampir semua peranti dan sistem yang lazimnya digunakan sehari-hari dengan sensor dan aktuator digital, kemudiannya menghubungkan semua atau sebahagian besar daripadanya ke rangkaian Internet atau ‘local network’, yang kadang-kadang disebut sebagai ‘Intranet of Things’. Rangkaian sensor ini membolehkan data yang diperoleh daripada sensor-sensor tersebut untuk dikumpulkan di awan, seterusnya membenarkan keputusan dibuat berdasarkan bacaan data dengan bantuan perisian automasi serta kecerdasan buatan (AI).

 

AI mampu menjana pandangan bernas daripada data yang banyak, seterusnya memberikan gambaran yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan membolehkan proses automasi berlaku dengan lebih baik. Selepas itu, melalui rangkaian ini, penggerak dan pengawal robot boleh dibuat untuk melaksanakan arahan berdasarkan ‘input’ daripada awan serta menggunakan teknologi robotik untuk mengendalikan pekerjaan pada skala yang lebih besar dan bekerja lebih lama berbanding pekerja manusia.

 

Kebanyakan peranti ini tidak pernah dihubungkan sebegini pada masa lalu. Oleh itu, membenarkan atau mempromosikan IoT akan membawa sinergi antara sistem yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam lipatan sejarah, menghasilkan perancangan sumber dan intervensi yang lebih baik. Lebih banyak data yang dimuat naik ke awan, maka keperluan untuk mempunyai jalur lebar yang lebih besar dan kelajuan Internet yang lebih pantas juga meningkat dengan banyaknya, maka kemajuan teknologi 5G juga adalah sangat penting.

 

Walau bagaimanapun aspek keselamatan telah menjadi suatu kebimbangan yang ketara dengan IoT, manakala AI dan robotik telahpun dikenalpasti sebagai teknologi yang belum cukup matang yang dapat menggantikan pekerja manusia sepenuhnya. Beberapa pencerobohan dan kemalangan data berprofil tinggi yang telah berlaku di seluruh dunia sudahpun mencetuskan kerugian dari sudut kewangan dan penurunan daripada segi kepercayaan. Pada masa akan datang, adalah dijangkakan industri akan melonjak ke hadapan untuk menangani isu-isu tersebut untuk menghalang data daripada dirosakkan atau dibocorkan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

 

Gabungan pelbagai teknologi seperti yang disebutkan di atas akan memainkan peranan penting dalam revolusi perindustrian yang akan datang. Oleh itu, memiliki pengetahuan yang betul akan menjadi kelebihan utama dalam menentukan sama ada anda akan berada di hadapan atau ditinggalkan ketika dunia bergerak maju ke era baru. Secara ringkasnya, mengadaptasi teknologi sememangnya merupakan sesuatu yang penting dalam revolusi perindustrian sebelumnya, tetapi ianya akan menjadi lebih penting lagi untuk Revolusi Industri 4.0 – sememangnya, pengetahuan tidak pernah menjadi lebih berkuasa daripada sekarang.

0 Comments

Leave a Comment