Cara Menaiktaraf Proses Dalam Syarikat Anda

Kita sekarang sedang berada di ambang Revolusi Perindustrian 4.0 yang berskala global. Suka atau tidak, lambat-laun revolusi ini akan memberikan kesan kepada syarikat anda, terutamanya jika anda terlibat dalam perkhidmatan pembuatan dan perkhidmatan berkaitan perkilangan. Industri 4.0 akan mentransformasi bagaimana produk direka, dibina, digunakan dan dikendalikan serta bagaimana ia dikekalkan dan diservis. Ia juga akan mengubah cara-cara operasi, proses, pengurusan rantaian bekalan dan jejak tenaga kilang-kilang.

Seseorang mungkin boleh mengandaikan bahawa menaik tarafkan teknologi adalah teras utama Industri 4.0, tetapi itu tidaklah benar sepenuhnya. Faktor penentu bukan teknologi semata-mata. Menurut model kriteria penilaian kebersediaan (RA), inti kebersediaan ini terdiri daripada tiga faktor utama, iaitu teknologi (50%), proses (30%), dan modal insan atau manusia (20%).

Tumpuan pada proses adalah untuk menaik taraf sistem pengurusan yang terlibat dalam menjalankan operasi perniagaan, rantaian bekalan dan kitaran hayat produk. Mempertingkatkan proses-proses pembuatan dan perniagaan adalah penting bagi Malaysia untuk terus maju ke hadapan dan Dasar Kebangsaan Industri 4.0 (Industry4WRD) bertujuan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang baik dan memudahkan perkongsian antara kedua-dua sektor awam dan juga swasta. Terdapat juga penekanan terhadap keselamatan, kemampanan dan penciptaan bersama sesuatu produk.

Menurut pakar automasi, Bill Lydon, Industri 4.0 sewajarnya menghasilkan “produktiviti, kecekapan, dan proses pengeluaran mandiri yang jauh lebih tinggi di mana tenaga kerja manusia, mesin, peralatan, sistem logistik, dan komponen-komponen kerja dalam sesuatu proses berkomunikasi dan bekerjasama antara satu sama lain secara langsung” .

Dalam industri pembuatan dijana Industri 4.0 yang ideal, proses pengeluaran dan logistik disepadukan secara bijak, mewujudkan ekosistem masa semasa yang lebih cekap dan fleksibel.

Persekitaran yang kondusif ini akan memudahkan penjanaan rangkaian penciptaan nilai yang pintar yang merangkumi keseluruhan fasa kitaran hayat produk, daripada idea produk awal, kepada pembangunan, pengeluaran, penggunaan dan penyelenggaraan sehingga ke proses kitar semula. Setiap langkah dari idea produk ke kitar semula seharusnya direka untuk menjadi responsif dan penambahbaikan boleh dibuat secara berterusan untuk mengoptimumkan proses yang sedang dan sentiasa berjalan.

Proses pendigitan industri dan pelbagai perkembangan baru diramalkan untuk memupuk model perniagaan baru dan membawa kepada peluang baru, terutamanya untuk perusahaan kecil dan sederhana (UKM) yang tangkas. Oleh itu, sama-samalah kita menjangkakan masa hadapan yang lebih menarik.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai bagaimana anda boleh bersiap sedia untuk Industri 4.0, anda boleh membaca buklet MITI dan juga risalah MPC.

0 Comments

Leave a Comment