Contoh Penggunaan Bijak Industri 4.0 Dari Seantero Dunia

Dengan pelbagai teknologi baru yang pesat berkembang, IR4.0 (Revolusi Perindustrian 4.0) sedang dipelopori oleh pelbagai negara secara global, agar dapat terus bersaing dari segi ekonomi. Salah satu negara yang telah meletakkan batu asas untuk tujuan ini sejak tahun 80-an lagi ialah Korea Selatan. Dengan sistem komunikasi fiber yang dipasang pada akhir 80-an, industri penyiaran juga berkembang pesat dengan lebih daripada 250 stesen televisyen yang bersiar pada tahun 1987.

Hari ini, Korea Selatan mempunyai bilangan perkhidmatan jalur lebar per kapita yang tertinggi, lantas bergerak maju sebagai salah satu negara teknologi tinggi di dunia. Sementara itu, kerajaannya melabur kira-kira USD $ 4 bilion pada teknologi masa hadapan seperti ‘blockchain’, AI, ‘big data’ dan ekonomi domestik. Pengumuman ini diikuti oleh Datuk Bandar Seoul Park Won-soon yang memperkenalkan pelan lima tahun untuk mempromosikan industri ‘blockchain’.

Kerajaan Korea Selatan juga memberi tumpuan kepada melatih 10,000 guru sekolah sains komputer, memastikan anak-anak hari ini dilengkapi sebaiknya untuk pekerjaan hari esok, memandangkan semakin banyak pekerjaan telah diautomasikan.

Di Asia Tenggara, Singapura telah dinamakan sebagai salah satu dari 25 buah negara yang berada dalam kedudukan terbaik untuk mendapat manfaat daripada IR4.0, oleh Forum Ekonomi Dunia pada tahun 2018. Dengan pengenalan ‘Smart Industry Readiness Index’ (SIRI), oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB), teknologi, proses, dan organisasi akan dinilai sebelum syarikat-syarikat dapat dikenal pasti sebagai bersedia untuk IR4. Inisiatif ini membantu syarikat memaksimumkan proses naik taraf mereka.

Selain itu, Singapura juga dikenali sebagai salah satu negara yang paling terbuka dan mesra perdagangan di dunia.

Di seberang dunia, kerajaan Sweden telah melancarkan inisiatif yang digelar Industri Pintar, dalam usaha untuk memperkuat kedudukan Sweden dalam menerima perubahan dan daya saing dalam pembuatan dan pengeluaran.

Di bawah inisiatif Industri Pintar, lima universiti Sweden sedang bekerjasama untuk menubuhkan sekolah siswazah perindustrian terbesar Sweden dalam bidang IR4.0. Usaha ini bertujuan untuk bekerja dengan perusahaan untuk membangunkan kemahiran pekerja, menyediakan perniagaan mereka untuk masa depan yang sentiasa berubah dan menjadi sebahagian daripada aktiviti penyelidikan di Sweden.

Kanada pula adalah negara pertama di dunia untuk mengumumkan strategi nasional untuk kecerdasan buatan (AI) pada tahun 2017. Kerajaan Persekutuan di Kanada bercadang untuk melabur CAN $ 125 juta dalam tempoh lima tahun akan datang, untuk tujuan ini.

Dinamakan ‘Pan-Canadian AI Strategy’, ia dilancarkan untuk memajukan penyelidikan dan inovasi dalam AI, di samping menarik dan mengekalkan penyelidik AI terkemuka di dunia. Sebagai hasil, Kanada telah melihat sejumlah besar ‘startups’ berasaskan AI. Sehingga tahun 2018, terdapat lebih daripada 650 ‘startups’ berasaskan AI di Kanada.

0 Comments

Leave a Comment