Industri 4WRD: Membantu Malaysia Mencapai Industri 4.0

Revolusi Perindustrian Pertama adalah mekanisasi industri pembuatan dan pemprosesan. Revolusi kedua adalah pengenalan ‘assembly line’ dan elektrik, yang sememangnya disasarkan untuk pengeluaran besar-besaran. Revolusi perindustrian ketiga pula menggunakan automasi. Apakah revolusi perindustrian keempat? Haa, ia adalah perangkaian antara mesin yang bertujuan untuk beroperasi dengan lebih cekap dengan kesilapan manusia yang kurang, dengan pengenalan sistem pintar seperti Internet of Things (IoT) dan kepintaran buatan (AI), Industri 4.0 adalah selaras dengan Matlamat # 9 daripada Matlamat Pembangunan Mampan, iaitu untuk membina infrastruktur yang berdaya tahan, menggalakkan perindustrian inklusif dan mampan serta memupuk inovasi. Ia juga selaras dengan Matlamat # 12, yang memastikan pola penggunaan dan pengeluaran lestari. Hampir setiap negara sedang bersedia untuk revolusi, termasuk Malaysia juga. Walau bagaimanapun, seperti banyak perkara yang hebat, jalan untuk mencapainya pastinya penuh dengan rintangan.

Antara cabaran yang dihadapi Malaysia dari segi Industri 4.0 adalah kurangnya kesedaran terhadap keperluan Industri 4.0, yang disebabkan oleh kekurangan maklumat berpusat dan mudah diakses. Pembiayaan juga merupakan halangan besar untuk ditangani memandangkan perniagaan Industri 4.0 memerlukan kos yang lebih tinggi, dan dana adalah terhad bagi sesetengah pemilik perniagaan. Oleh kerana kekurangan dana dan kesedaran, Malaysia juga mempunyai jurang yang ketara ke arah pembangunan kemahiran dan infrastruktur. Apabila kemahiran dan infrastruktur, terutama dalam aspek industri digital dan pintar, sudah ketinggalan zaman dan terhad, ia menjadi lebih sukar bagi Malaysia untuk berusaha mengadaptasi Industri 4.0. Satu lagi cabaran penting juga adalah kekurangan sokongan tadbir urus dan ekosistem. Pada masa ini, tidak ada mekanisme yang sesuai untuk membimbing Malaysia ke arah Industri 4.0. Di sinilah kerajaan seharusnya bertanggungjawab.

Untuk menangani cabaran tersebut, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Kebangsaan Industri 4.0, yang juga dikenali sebagai Industry4WRD. Dasar ini mempunyai 4 matlamat khusus untuk dicapai pada tahun 2025: untuk meningkatkan produktiviti sebanyak 30% dalam sektor perkilangan, untuk meningkatkan sumbangan sektor pembuatan, daripada RM254 bilion kepada RM392 bilion, untuk meningkatkan keupayaan inovasi, dan menjadi sebahagian daripada 30 negara teratas, akhirnya meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran tinggi dari 18% hingga 35%.

Industry4WRD mempunyai 4 objektif untuk merealisasikan impian industri 4.0: menarik pemegang kepentingan, mewujudkan ekosistem yang betul dan mengubah keupayaan industri Malaysia. Bagaimanakah polisi mencapai matlamat dan objektif ini? Mereka merumuskan pelan tindakan F.I.R.S.T.: pelan tindakan yang merangkumi pembiayaan atau ‘funding’ (F), membolehkan ekosistem dan prasarana digital yang efisien atau ‘infratructure (I), rangka kerja pengawalseliaan dan penerimaan industri atau ‘regulation’ (R), menaikkan kemahiran atau ‘upskilling’ tenaga kerja masa depan kini atau ‘skills’ (S), dan akses kepada teknologi pintar dan standard atau ‘technologies’ (T). Setiap aspek mempunyai strategi tersendiri yang melibatkan

pelbagai pihak berkepentingan seperti kementerian dan badan pengawalseliaan seperti SKMM dan Bank Negara yang dijangka akan bekerjasama ke arah pembangunan Industri 4.0 dan untuk menggalakkan PKS di Malaysia menjadi sebahagian daripada Industri 4.0.

0 Comments

Leave a Comment